Dajjal seperti yang digambarkan di dalam hadis ialah seorang lelaki yang buta sebelah matanya dan tertulis di antara kedua matanya itu perkataan kafir. Mendengar fizikalnya seperti ini pasti ramai yang tertanya-tanya apakah bahayanya Dajjal kepada umat Islam ? Bukankah semua orang pasti sudah tahu akan kesesatannya dan mengenal tanda-tandanya ?
Jawapannya ialah ramai orang sebenarnya jahil dan memandang rendah kepada fitnah Dajjal serta tidak mengetahui betapa bahayanya Dajjal kepada manusia dan tidak pula bersiap sedia untuk menghadapi kebangkitan dan fitnahnya.
Fitnah Dajjal disebut oleh nabi salallahualaihiwassalam sebagai fitnah yang terbesar akan menimpa manusia. Rasulullah salallahualaihiwassalam pernah bersabda (yang bermaksud) : “Sejak penciptaan Adam sehinggalah terjadinya kiamat tidak ada perkara lain yang lebih besar dari Dajjal.” (Hadis riwayat Muslim)
Di dalam riwayat yang lain, Abdullah Ibn Umar ra berkata rasulullah salallahualaihiwassalam bersabda : “Aku sungguh-sungguh berwasiat agar kamu semua berhati-hati terhadapnya. Tidak ada seorang nabi pun yang tidak memperingatkan kaumnya tentang bahaya Dajjal namun aku akan memberitahu kalian tentang sesuatu yang tidak pernah diberitahu oleh seorang nabi pun sebelumku kepada kaumnya iaitu bahawa Dajjal itu buta sebelah matanya dan Allah itu tidaklah buta sebelah mata. (Hadis riwayat Bukhari)
Berapa ramai orang yang membaca hadis-hadis seperti ini tetapi mereka melaluinya seperti tidak mendapati apa-apa bahaya dan merasa terancam olehnya. Kata mereka sudah banyak orang yang mengaku nabi sejak dari zaman awal Islam. Sudah ramai tokoh-tokoh palsu, ajaran sesat dan kepala pendusta agama yang membawa ajaran ganjil ini yang telah berjaya dihapuskan dan beranggapan Dajjal ini akan muncul seperti golongan sesat, ahli bid’ah dan golongan menyeleweng yang lain serta berada sebaris dengan tokoh-tokoh pemalsu agama seperti Ayah Pin, Qadiani dan nabi palsu lainnya.
Oh mereka itu ternyata silap sama sekali !
Dajjal itu kelasnya bukanlah setaraf dengan nabi palsu atau wali-wali keramat dan tok guru yang dapat ditangkap dan dipenjarakan.
Dajjal itu bahkan mengaku dirinya sebagai tuhan dan mempunyai pelbagai keajaiban dan kekuatan yang tidak dapat dibayangkan !
Dajjal itu fitnahnya ialah kesyirikkan global dan kehancuran dunia serta mengangkat kekufuran dan menyeliputi seluruh alam dengan kepalsuan dan kebathilan.
Lawan Dajjal itu pula bukanlah seorang polis agama atau Kadi dan mufti sebaliknya seorang rasul khas yang ditugaskan secara khusus untuk memerangi Dajjal di akhir zaman iaitu Nabi Isa alaihisalam yang kini berada di sisi Allah SWT.
Firman Allah SWT : “dan kerana ucapan mereka: "Sesungguhnya kami telah membunuh Al Masih, Isa putra Maryam, Rasul Allah, padahal mereka tidak membunuhnya dan tidak (pula) menyalibnya, tetapi (yang mereka bunuh ialah) orang yang diserupakan dengan Isa bagi mereka. Sesungguhnya orang-orang yang berselisih paham tentang (pembunuhan) Isa, benar-benar dalam keraguan tentang yang dibunuh itu. Mereka tidak mempunyai keyakinan tentang siapa yang dibunuh itu, kecuali mengikuti persangkaan belaka, mereka tidak (pula) yakin bahawa yang mereka bunuh itu adalah Isa. Tetapi (yang sebenarnya), Allah telah mengangkat Isa kepada-Nya. Dan adalah Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.” (An-Nisa : 157-158)
Jadi masihkah anda mampu memandang rendah ?
Di dalam sebuah hadis dari jalan Abu Umamah ra bahawa nabi salallahualaihiwassalam diriwayatkan bersabda : “Wahai sekalian manusia, sesungguhnya sejak Allah memperbanyakkan keturunan Adam itu tidak adalah fitnah di atas muka bumi ini yang lebih besar selain fitnah Dajjal. Dan Allah azza wa jalla tidaklah mengutuskan seorang nabi pun kecuali mereka memperingatkan kaumnya tentang bahaya Dajjal. Aku ialah nabi yang terakhir dan kamu semua pula adalah umat yang terakhir. Sesungguhnya Dajjal itu pastilah akan muncul di tengah-tengah kamu semua.”(hadis riwayat Ibn Majah, Ibn Khuzaimah dan Al-Hakim di dalam Mustadrak)
Jika para rasul di setiap zaman pun merasa takut dan memperingatkan bahayanya Dajjal serta nabi Muhammad salallahualaihiwassalam sendiri berasa bimbang dan sentiasa berpesan kepada para sahabatnya tentang fitnah lelaki buta ini maka apakah alasan dan puncanya yang menyebabkan anda tidak berasa bimbang ?
Hafal 10 ayat Surah Al-Kahfi utk terpelihara dan di selamatkannya dari fitnah Dajjal
Diriwayatkan Nabi salallahualaihiwassalam bersabda : “Barangsiapa yang menghafaz 10 ayat yang awal dari surah Al-Kahfi akan di pelihara dan di selamatkannya dari fitnah Dajjal.” (hadis riwayat Muslim)
Rupa-rupanya budaya Melayu baca Al-quran untuk menghalau hantu masih menebal di dalam minda. Amalan membaca Yassin malam Jumaat yang dianggap dapat menyelesaikan masalah, seperti membuat air penawar untuk anak menduduki peperiksaan dan mencari siapakah pencuri dalam kampong atau asrama masih bersarang di minda orang Melayu.
Firman Allah SWT : “Dan apabila kamu membaca Al Quran nescaya Kami akan adakan di antara kamu dan orang-orang yang tidak beriman kepada kehidupan akhirat itu suatu dinding yang tertutup.” (Al-Isra : 45)
Patutlah umat Islam kebanyakkannya tidak berasa bimbang dengan fitnah Dajjal kerana mereka menyangka kononnya mereka sudah mempunyai tangkal azimat berupa ayat-ayat Al-Kahfi buat menakut-nakutkan Dajjal.
"Nyah kau dari sini ! Aku bacakan surah Al-Kahfi nanti !"
Agaknya mungkin itulah dialog yang mereka rancang untuk gunakan apabila berhadapan dengan Dajjal nanti.
Jika begitu mudah menghalau Dajjal maka tidak perlulah para rasul dari zaman berzaman berpesan dan memperingatkan umatnya tentang bahaya Dajjal.
Bahkan di dalam sebuah hadis dari jalan Imran bin Hussain ra bahawa rasulullah salallahualaihiwassalam pernah bersabda : “Siapa yang mendengar Dajjal hendaklah dia menjauhinya. Demi Allah, ada seorang lelaki yang datang kepadanya dengan penuh yakin dirinya sebagai seorang mukmin namun ternyata akhirnya lelaki itu kemudian menjadi pengikut Dajjal kerana tipu daya yang dilakukannya.” (hadis riwayat Ahmad dan Abu Daud)
No comments:
Post a Comment